Apakah Ketumbuhan Fibroid?
Ketumbuhan fibroid ialah sejenis
ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot.
Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah
lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah
lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika
seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat
pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan
bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti
sediakala.
Walau bagaimanapun, ketumbuhan boleh
berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi
tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.
Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering
berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak
hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia
akan keluar bersama-sama dengan darah haid.
Darah haid adalah campuran antara darah
dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta
kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan
“darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia
keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.
Mengapa Tumbuh Fibroid?
Ramai orang tertanya-tanya mengapa
seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim.
Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia
tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu
kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita
sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya
tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor
kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau
menggangu kesihatan.
Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan
fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau
lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung
dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang
mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan
fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis
penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan
berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan
persekitaran rahim.
Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun
masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata
masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid.
Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung
daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang
menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak
mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima
orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan
beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta
gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami
ketumbuhan fibroid.
Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan
fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon
wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis
hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat
naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas
telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh
haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika
terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan
seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan
yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan
ketidaksuburan atau kemandulan.
Sukar untuk kita ketahui, mengapa
kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana
segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang
pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah
dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada
gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal
pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu.
Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita
yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon
yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti
ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis
sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja. Tidak ada
bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi
oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan
kuman.
Apakah Gejala-gejala Fibroid?
Fibroid mungkin tidak menimbulkan
sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala
atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh
itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa
menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor
untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan
masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala,
kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung.
Perlu saya tekankan
di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan
fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak
perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan
sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya
nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen.
Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke
tahap yang sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan
ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.
Gangguan Haid
Saya telah nyatakan di atas, bahawa
tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan
di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah
pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan
kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu
mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan
kesihatannya.
Bagi wanita yang mengalami pendarahan
yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika
didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau
bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid
(senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis
sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita,
khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah
gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor,
khususnya doktor pakar sakit puan.
Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid boleh juga menimbulkan masalah
ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang
lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak
mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar
untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim.
Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak
boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan
masih boleh mengandung.
Tetapi, di antara masalah-masalah yang
boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah
ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran
sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi
yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya.
Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu
besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita
yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana
fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami
proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan
kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.
Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
Pundi-pundi air kencing terletak
sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di
hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi
air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi
air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.
Akibatnya seseorang wanita itu sering
mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh
menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak boleh mengawal
perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan
ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur
empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa
peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.
Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps
atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan
mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak,
khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan
alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk
jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya
ialah pembedahan.
Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
Seperti yang saya nyatakan, tidak semua
kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah
atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang
menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan
mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen.
Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan.
Setakat ini tidak ada rawatan yang
menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada
kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun
yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh
mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan
usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan
fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar
biasa.
Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
Rawatan yang khusus bagi fibroid,
khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid,
kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti
gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps)
ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum
seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara
yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau
tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps)
atau tidak.
Bagi wanita yang masih muda dan masih
mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan,
pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid
sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma
ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut
dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi
beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang
saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
Pembedahan untuk membuang ketumbuhan
fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang
di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan
yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan
ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.
Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang
menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk
melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak
yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan
ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah
pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan
besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama
seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk
pulih kepada keadaan sediakala.
Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.
Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon
Kejelitaan dan fungsi seksual lebih
dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari.
Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan
dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana
kilang ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan
dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara
suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan
akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang
tidak teratur serta berpanjangan.
Wanita itu akan menghadapi hidup yang
lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh
menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk
bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan
hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila masa. Keadaan kesihatan
akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan berlaku
lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan
sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.
Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama
dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan
melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di
bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan
menerusi saluran faraj.
Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj
dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai
punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal
hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan
seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran
berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan
pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di
sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.
____________
KAMI DI EXFUZE SEVEN PLUS JUGA BERHASIL MENEMUKAN TESTIMONI DARI PENGGUNA YANG BERJAYA SETELAH MENGGUNAKAN PRODUK SEVEN+ KELUARAN EXFUZE.
WHATSAPP AZIZ : 013 6901165
Tiada ulasan:
Catat Ulasan